Aku Seorang Doktor Di Wad 7B (Surat Rintihan Buat Sang Korona)
Oleh : Rozita Adawiyahi. Aku seorang doktor di wad 7B,
mataku menjadi saksi,
kehadiran kau yang diundang tidak, identiti kau juga tiada masyhur dikenal orang, tapi begitu bisa kau menyelinap menerobos masuk ke seantero dunia.
ii. Aku seorang doktor di wad 7B,
Telinga ku menjadi saksi,
Mendengar suara sukma sang malam dan siang berteriak sakit kerana kau, terus-terusan kau menghapus segan dan tanpa silu menyinggah masuk mengetuk pintu tubuh, lalu beramuk di kamar organ, menyesakkan saluran nafas, menyekat oksigen dari dihirup manusia, tercungap-cungap aku melihat pak cik tua itu terseksa menarik nafas seperti ikan tak dapat air. Pada mulanya ku kira kau hanya ingin menumpang barang semalam dua tetapi tanggapan ku meleset, kau terus bermastautin di jasad pesakit-pesakit ku.
iii. Aku seorang doktor di wad 7B,
Bahuku menjadi saksi,
Rintihan rakan-rakan seperjuangan, langit kami beratapkan siling hospital yang kusam tanpa bintang, tidur hanya beralaskan lantai mozek yang sejuk sehingga mencucuk tulang-belulang kami, anak sendiri terpaksa ditinggalkan demi kelangsungan hidup jutaan nyawa di wad ini.
iv. Setiap hari hati menjerit merayu, “Bilakah kau mahu pergi dan tidak mengganggu kami lagi?”
Rintihan demi rintihan, tak tertabur sebagai dialog, tetapi terpendam sebagai monolog, di dalam dilema aku seorang doktor di wad 7B.
Ahad
15:00 pm
29 Mac 2020